perjalanan

perjalanan
kuatkan hati melangkah

Saturday, 23 March 2013

Sendiri


Siapa kata sendiri itu tidak bahagia? Tidak menggembirakan? Zahirnya, orang mungkin nampak seseorang yang bersendirian itu menyedihkan kerana kekosongan tanpa ditemani. Namun, pada hakikatnya mereka yang bersendiri itu lebih bahagia sebenarnya.
Bila sendiri, kita mempunyai banyak ruang untuk muhasabah diri. Biarpun sendiri, kita tetap takkan berada dalam relung kesunyian. Kerana dengan bersendiri, kita mampu merasai kehadiranNya di sisi kita. SubhanaAllah! Mampu untuk merasa redup kasihNya yang lagi menenangkan.
Sendiri, mengajar kita untuk memperbaiki diri sendiri tanpa gangguan dan halangan daripada mereka-mereka.
Sendiri itu terapi. Terapi untuk menguatkan iman. Terapi untuk perbaiki hubungan dengan Sang Pencipta. Terapi untuk memperbaiki habluminnanas (hubungan sesama manusia). Terapi untuk membetulkan setiap yang sumbang.
Kerana, dengan bersendiri, seseorang mampu untuk berfikir dengan rasional tentang segala hal duniawi mahupun ukhrawi. Mampu membuatkan seseorang mencari kembali dirinya yang telah hilang. Mampu menilai antara kaca dan permata. Mampu membezakan antara hitam dan putih.
Sendiri itu juga terapi untuk menghapuskan parut-parut dosa yang dilakukan. Apa gunanya berteman seandainya diulit dengan cengkaman dosa? Tentulah hati takkan tenang apabila dosa-dosa tersebut menghantui. Astargfirullahalazim...
Sesungguhnya, sendiri itu terapi yang indah. Terlalu indah bagi mereka yang benar-benar memahami istilah sendiri. Allah SWT ciptakan sendiri itu untuk mengembalikan semula hambaNya yang 'hilang'. Dia biarkan kamu yakni insan yang terpilih untuk bersendiri hanya semata-mata inginkan kamu kembali ke jalanNya. Bukan untuk menghukum kamu. Sebaliknya, untuk menyatakan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya.
Jadi, janganlah bersedih apabila sendiri. Bersangka baiklah dengan Allah. 
Allah SWT berfirman:
"Aku akan bersama (mengikut) sangkaan hamba-hambaKu. Maka hendaklah kamu bersangka dengan apa yang kamu inginkan" (Hadis Qudsi Riwayat At-Thabrani)
Percayalah, setiap keadaan atau peristiwa itu mempunyai hikmah yang kadangkala dapat kita fikir sendiri (namun kadangkala hikmah itu tidak dapat difikir oleh kita manusia biasa). Ingat, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
"...boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu."
(Surah al-Baqarah, ayat 216)
Biarlah kita buruk dan hina pada pandangan manusia, namun cantik dan suci pada pandangan Allah SWT :)
Wallahualam...

Thursday, 14 March 2013

Percayakan Takdir


Terkadang,
Angin yang lembut itu bisa berubah kencang,
Dan manusia yang sedang ketawa itu,
Terus menangis gundah..
"hahahaha" Satu hari, Adam seronok bergelak ketawa, sambil kaki berjalan mengundur.
Gedebuk!
Seperti nangka sahaja jatuhnya, semua yang ada terkejut.
Adam kembali bangun, menggosok-gosok punggungnya, "HAHA. tak sakit tak sakit." Katanya selamba.
Ah anak kecil ini.
Dahulu Kita Juga Sepertinya
Sahabat,
Dahulu, Sewaktu kita kecil kita juga kuat. Banyak kali kita terjatuh ketika cuba hendak berjalan, tapi akhirnya kita bangkit kembali. Banyak kali kita 'dikecewakan' kerana tidak dapat menjamah semua makanan, tapi selepas itu kita ketawa kembali. Banyak kali kita bergaduh dengan teman sebaya, tapi selepas itu kita kembali bersapa dan berbual mesra.
Tapi,Semakin kita menginjak dewasa, kekuatan itu semakin hilang.
Waktu ditimpa dugaan, kita asyik bersedih.
Waktu disapa ujian, kita asyik merungut.
Kita asyik menuding jari kepada Allah, sedang Allah telah pun memujuk kita dengan ayat-ayat cintaNya :
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.(Al-Insyirah : 5-6)
Terkadang ada manusia yang jadi malas beribadat, tidak lagi percaya kepada Allah. Sedang Allah setia menunggu, rintihan dan doa dari hamba yang amat dirinduiNya..
Sahabat,
Dahulu, seorang sahabat Nabi, ketika ujian tidak ditimpakan kepadanya, dia berasa gundah dan sedih, soalan yang sama diulang-ulang : Apakah Allah telah lupa kepadaku?
Sekarang sahabat,
Allah menguji tidaklah sehebat ujian yang ditimpakan kepada ummat terdahulu.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Zainab puteri Rasulullah yang terpaksa memilih antara suami yang masih jahiliyyah atau ayah tercinta.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Sumayyah yang seisi keluarganya dibunuh di hadapan mata.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Bilal bin Rabah, dijemur, diseksa, dihempap batu.
Sahabat,
Allah sungguh kasih kepada kita. Tapi berbalaskah kasih itu?
Jangan Menyalahkan Takdir
Ada orang, yang usahanya sedikit, dan bila datang sesuatu yang tidak memuaskan, dia berkata : Ini adalah takdir.

Sahabat,
Kata-kata begitu hakikatnya seolah-olah kita menyalahkan takdir. Sesuatu yang belum berlaku tidak dinamakan takdir, bahkan kita masih ada peluang untuk mengubahnya.
Jika semuanya mahu bergantung kepada takdir, maka orang jahat tidak akan berubah menjadi baik kerana takdirnya sudah jahat.
orang miskin tidak perlu berusaha mencari duit, kerana takdirnya sudah miskin.
Pelajar corot tidak perlu belajar kerana takdirnya sudah corot.
Begitukah?
Mari kita baca satu cerita :
Ketika wabak penyakit berlaku di Syam, Umar Al-Khattab telah bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk tidak memasuki Syam.
Ada yang bertanya : Adakah engkau melarikan diri daripada Qadar Allah wahai Amirul Mukminin?
Beliau menjawab : ya, kita lari daripada Qadar Allah kepada Qadar Allah. Apa pendapat kamu jika kamu berada di atas dua jenis tanah iaitu yang subur dan kering. Bukankah jika kamu usahakan yang subur, kamu mengusahakannya dengan Qadar Allah dan jika kamu ushakan yang kering, kamu mengusahakannya dengan Qadar Allah juga?
Nak dengar cerita lagi?
Suatu ketika, seorang lelaki telah kalah dalam satu perbahasan dan berkata "Allah telah menentukan bahagianku."
Nabi SAW memarahinya kerana berkata demikian.Lahiriahnya kata-kata itu menggambarkan iman tetapi hakikatnya menampakkan kelemahan.
Sabda baginda:
"Allah membenci orang yang lemah, tetapi apabila tewas dalam suatu urusan kamu berkata: Bahagianku telah ditentukan oleh Allah."
Berusaha dan berusahalah dengan bersungguh, pilihlah takdir yang kita mahu... sehingga di pengakhiran usaha, ada sesuatu yang kita dapat setelah berusaha, barulah berkata : inilah yang telah ditentukan Allah buatku.
Tanya pada diri, apa usaha kita, dan jangan asyik berkata "Ala,dah takdir.."
Jadilah kuat. Islam itu hebat, maka mari jadi hebat untuk Islam.
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Ar-Ra'd :11)
Berimanlah kepada Qada' dan Qadar Allah ; berusaha dengan apa yang kamu termampu dan berserah dengan kekuasaan Allah. Bekerjalah tanpa putus asa.
Jernihkan fikrah kita. Islam itu amaaaatttt Indah.

Berusaha!
Fighting!
Tatkala hujan yang lebat itu telah pergi,
Pelangi memuncul diri,
Dan manusia,
Terus merungut mengenangkan hujan yang telah pun berlalu..

Sunday, 10 March 2013

Harga Kemaafan


Suatu ketika, pernah kah kita merasa seolah-olah ada sesuatu yang menganggu ruang fikir kita. Kita mencari-cari di mana arah punca gangguan itu. Hati kita terasa seperti berbuat silap. Tapi semakin kita mencari, semakin pula kusut ruang fikir kita. 
Pada satu saat yang lain, pernah kah kita tertanya sendiri, kenapa hati tidak tenang? Kenapa hati terasa masih lagi gelisah? Kenapa fikiran selalu saja melayang mengenang perkara-perkara pahit? Kenapa selalu saja rasa sendu dan duka, kadang melarat dari pagi membawa ke petang.
Sedangkan tangan masih ditadah, masih lagi berbicara doa pada Allah. Meminta itu ini, mengadu begitu begini. Memohon agar diampunkan semua dosa dan kesalahan diri. Namun hati, masih juga buntu dalam menemui erti ketenangan yang sebenar.
Kita muhasabah.... 
Mungkin kita tidak tersedar, rupanya ketika bibir laju memohon ampun, kita sendiri belum lagi menghulur maaf. Bagaimana harus ditemui ketenangan, andai masih lagi berbekas rasa. Bagaimana mesti kita diampuni, andai masih lagi belum rela melepaskan rasa dalam hati. Kita ingin Allah mengampunkan dosa kita, tetapi kita lupa memberi maaf pada mereka yang bersalah. Kita membuat mereka terluka. Terluka dengan sikap kita.
Memaafkan bukanlah mudah. Kita manusia fitrahnya sentiasa  berteman khilaf. Yang selalu kalah dengan ujian yang Allah beri. Yang selalu dan tak malu mengaku lemah. Sedangkan Allah terang-terangan lebih menyukai mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah.
Kita ini manusia, yang selalu bersembunyi di balik dinding bernama mangsa. Kita ini manusia, yang tidak mahu memaafkan hanya beralasan 'kita bukan nabi, kita manusia biasa'...
Kadangkalanya kita mangsa dan mengenang betapa diperlakukan dengan tidak adil, betapa diri dizalimi, betapa diri tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu, diperlakukan sebegini... lantas sukar sekali rasa hati untuk memberi sebuah kemaafan.
Mengapa boleh berlaku sedemikian? 
Ya, kerana kita sebenarnya lupa. Yang menggerakkan sesuatu itu adalah Allah. Hati manusia, seperti saya, seperti dia, seperti semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang akan terjadi tanpa izin dariNya. Setiap sesuatu, telah dirancang Allah sebaiknya. Baik atau buruk hanyalah di mata kita, manusia yang terhijab dari segala kebaikan yang Allah telah aturkan.

Tersiratnya, andai kita fikir kita dizalimi oleh manusia, lalu enggan pula memaafkannya, maka kitalah sebenarnya yang zalim kerana sedikit sebanyak, kita ini menuduh perancangan dan gerakan Allah itu zalim. Nauzubillahiminzalik. Astagfirullah.
Sedangkan Allah, pemilik segala sesuatu di langit dan bumi, sedia mengampunkan dosa hatta setinggi gunung. Sedangkan Allah, di dalam al-Quran berkali kali menegaskan yang dia Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. Sedangkan Dia, yang mahu hambaNya memohon ampun walau berkali-kali melakukan dosa.... Tapi kita, hanya hamba yang kerdil, satu antara jutaan butiran pasir manusia, seakan-akan mahu menumpang hakNya, dengan tidak bersedia memaafkan manusia kerdil lain. Siapa kita? Siapa? 
Benar, memaafkan memang tidak mudah. Memaafkan sedang hati masih berdarah kerana disakiti, memang sukar sekali. Apalagi jika yang mengkhianati tidak pernah peduli. Tidak pernah menghulur maaf. Tidak pernah menunjuk kesal. Malah seakan bergembira, seolah olah tidak pernah berlaku satu apa pun kesalahan atas bahunya.
Ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Mahu ke syurga itu perlu diselangi dengan jerih payah. Maka, perlu apa kita mengeluh kesah?
Percayalah, bila mana memaafkan maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang. Rasa tenang. Rasa damai. Rasa lapang. Bila mana tangan ditadah, lalu memaafkan setulus hati, dapat dirasa hati bersorak girang. Hati terasa bebas dari dendam dan amarah kerana kita tidak lagi menanigisi sesuatu yang telah terjadi.
Didiklah hati itu agar sentiasa mendoakan mereka yang telah mengkhianati kita. Walau sakitnya bagai tusukan sembilu, doakanlah kerana tidak merugi orang yang membalas kejahatan dengan kebaikan.
Sukar. Sudahlah memaafkan itu payah, lagikan pula mendoakan untuk mereka? Tapi percayalah, memberi kemaafaan itu memberi jalan tenang, memaafkan itu membuka hati semakin lapang. Mendoakan buat mereka yang menganiaya adalah kemuncaknya. Hakikatnya merekalah sebenarnya yang patut dikasihani, kerana bukan saja mereka menzalimi kita, tapi juga menzalimi diri mereka sendiri... Bukankah orang seperti itu patut didoakan?
Walaupun pada saat ini mereka menyakiti dan menzalimi diri kita, mereka dikatakan seorang yang zalim bukan sahaja ke atas diri sendiri malah ke atas diri orang lain juga. Namun, kita tidak tahu bagaimana pengakhiran sebuah kehidupan di masa akan datang antara kita dengan orang yang menzalimi kita itu. Boleh saja orang tersebut menjadi lebih mulia di sisi Allah SWT berbanding diri kita sendiri. 

Andai belum pernah mendoakan yang baik-baik untuk mereka, maka pintalah. Setiap kali berdoa, pintalah kebaikan untuk mereka. Janganlah sesekali kita mendoakan keburukan buat mereka. Sebaik-baik mukmin dan 'sekuat-kuat' mukmin itu ialah dia tidak membalas kejahatan, kemarahan, kesakitan yang diberikan oleh mukmin yang lain sekalipun dia berkuasa dan berupaya untuk membalasnya.
Maka doakanlah dirinya dan jangan lupa agar istiqamah untuk mendoakan kebaikan juga buat diri kita sendiri.
Ya Allah,
Ampunilah dosa dan ketelanjuran kami,
Jauhkan kami dari cuba menumpang hakMu,
Jauhkan kami dari rasa dendam dan sakit,
Kami manusia, yang tidak malu berbuat dosa,
Yang tidak segan mengumpul noda,
Ampunilah kami, hambaMu yang hina,
Berikanlah kami hati yang tabah, hati yang kuat,
Untuk memberi maaf, demi mencari ampunanMu...
Amin ya Rabb.