perjalanan

perjalanan
kuatkan hati melangkah

Thursday, 23 May 2013

Kesempurnaan


Lahirnya kita ke dunia ini bersih, bersih dari dosa, bersih dengan akhlak terpuji, bersih dengan puji-pujian, bersih dengan kasih-sayang, dan bersih dengan reputasi yang mengkagumkan. Kita menangis dengan penuh keberanian, bersuara melalui deria suara dan tangisan air mata.
Dunia kita ketika lahir bagai sebidang kain yang kosong, belum dilukis, dicorak dan diwarnakan. Usia kita makin meningkat dari sehari ke sehari lalu memberi warna pada kain lukisan itu. Tetapi setiap langkah kita ditemani dan dipengaruhi orang-orang sekeliling kita terutamanya ibu bapa kita.
Ibu bapa bagai pelukis latar asal yang mencorak gambaran awal lukisan kehidupan kita. Namun, apabila kita jauh dari ibu bapa, kitalah yang menentukan kehidupan yang kita mahukan. Pesanan dan pengajaran yang baik diselami oleh diri kita ini akan membawa kita untuk memilih jalan yang baik untuk teruskan kehidupan.
Sedar tidak sedar, kita melalui kehidupan dengan mencari kesempurnaan dan kebahagiaan. Kesempurnaan seharusnya boleh diperoleh. Begitu juga dengan kebahagiaan.
Kita mengecapi kesempurnaan dari dua arah yang berbeza iaitu dari arah menambah melakukan kebaikan dan mengurangkan melakukan kesilapan. Arah mana yang lebih mudah adalah terpulang kepada setiap individu. Walau bagaimanapun, kita perlu usahakan dari kedua-dua arah itu.
Ketika kita meningkat dewasa, kita masih dalam proses pembelajaran yang meluas. Melakukan kesilapan antara cara kita mengenal kehidupan tetapi kita diingatkan untuk tidak melakukan kesilapan yang sama. Maka ini adalah arah mengurangkan melakukan kesilapan.
Seolah-olah ketika menjawab soalan peperiksaan. Pada asalnya kita perlu menjawab semua soalan dengan betul, tetapi kesilapan yang mengurangkan markah peperiksaan. Maka perlu bagi kita untuk kurang melakukan kesilapan.
Apatah lagi jika kita pernah menjawab soalan yang sama. Inilah keadaan apabila kita mendekati kematangan dalam kehidupan, rencah kehidupan kita telah kenal maka kita perlu mengelak dari melakukan kesilapan.
Ketika usia kanak-kanak, kita sering dipuji apabila melakukan kebaikan. Begitu juga apabila kita melihat anak-anak kecil yang rajin, kita merasa teruja dan memuji-muji mereka.
Ini kerana, kehidupan kanak-kanak terjurus kepada eksplorasi kehidupan dan lebih jinak kepada permainan. Oleh itu, apabila kebaikan dilakukan, maka kita merasakan sesuatu kelainan lalu hati mudah tersentuh dan mulut mudah memuji.
Bayangkanlah, jika sifat kanak-kanak dan kehidupan kanak-kanak itu diteruskan hingga remaja dan dewasa. Meskipun kita mungkin tidak melakukan kesilapan, tetapi kita tidak lagi dipandang baik dan mendapat tempat dalam masyarakat serta memiliki jiwa yang kosong.
Itulah hakikatnya, apabila usia meningkat, kita perlu menambah amalan kebaikan kerana ia mengisi jiwa yang kosong dengan keyakinan, peribadi yang baik dan memberi kebaikan kepada masyarakat.
Kesempurnaan seharusnya boleh dicari dan boleh dikecapi. "No one perfect" tidak seperti dijangkakan. Malah, ungkapan itu hanya tepat bagi relatif antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Kesempurnaan yang kita cari adalah dari definasi dari diri kita sendiri.
Definasi itu pula harus dibimbing oleh ajaran agama Islam yang terpuji. Fitrah manusia menolak sesuatu yang mustahil untuk diusahakan. Maka, jika tiada siapa yang mampu jadi sempurna, kenapa perlu kita usahakan?
Oleh kerana itu, kesempurnaan seharusnya boleh dicapai, maka wajar diusahakan.
Tentulah, setiap kali langkah lukisan kehidupan kita disentak oleh dugaan dan cabaran. Itu perkara biasa. Diri-diri yang mengenali hakikat ini akan mampu tersenyum apabila dugaan itu tiba. Ingatlah, dunia ini cukup luas untuk kita hidup, kerana dengan kelebihan dunia ini kita memiliki sosial dan kekeluargaan.
Berganding tanganlah ketika senang dan susah terutamanya sesama ahli keluarga. Menghadapi dugaan dan cabaran bersama sokongan dari ahli keluarga dan rakan-rakan akan memudahkan laluan kehidupan kita. Maka, jagalah perhubungan siratulrahim dan hargai mereka ketika senang dan susah.
Agama Islam juga menganjurkan untuk kita saling berpesan-pesan ke arah kebaikan dan melarang dari kemungkaran berlaku. Ternyata kehidupan kita dipengaruhi oleh hubungan sesama manusia ini. Apabila difikirkan, kehidupan kita lebih sukar dan mungkin sering kali melakukan kesilapan apabila kita hidup keseorangan di bumi Allah S.W.T ini.
Allah S.W.T memberi kita peluang untuk hidup di muka bumi Allah S.W.T dan ketetapannya adalah ketentuan yang pasti berlaku ketika perjalanan kita menuju kematian.
Maka, kita wajar mencari kesempurnaan dalam kehidupan; menjadi seorang hamba Allah S.W.T yang sempurna, menjadi seorang rakan yang berpesan-pesan ke arah kebaikan, menjadi seorang anak yang menyempurnakan kehidupan ibu bapa dengan kebahagiaan, menjadi seorang suami atau isteri yang menyempurnakan nafkah serta tanggungjawap, menjadi seorang ayah atau ibu yang mendidik serta membimbing anak ke arah kesempurnaan akidah, akhlak dan ilmu pengetahuan dan menjadi individu yang berguna kepada masyarakat serta berkorban demi agama Allah S.W.T tercinta.
Apabila kita mencapai kesempurnaan yang kita mahukan, ketika itulah kita mencapai kejayaan di dunia. Sempurnakan ia menjadi kejayaan di Akhirat.
Marilah berganding bahu mengejar kesempurnaan bersama-sama. Now everyone can be perfect!

Friday, 17 May 2013

Antara Ujian dan Impian


“Apa impian kamu apabila dewasa kelak?”
“Sudah tercapai ke impian kamu?”
 Setiap insan di muka bumi ini mempunyai pelbagai impian dan harapan yang tersendiri. Sedar atau tidak, impian inilah yang kadang kala memandu kita untuk mencapai apa yang kita mahu dan memberi semangat untuk seseorang itu meneruskan perjalanan sebagai daie Allah.
Impian yang sering kali kita harapakan kadang kala susah untuk kita laksanakan apatah lagi untuk dicapai. Sedangkan kita telah memiliki satu strategi dan pelan perlaksanaan yang begitu terperinci. Tetapi, mengapa kita masih gagal melaksanakannya? Cuba kita renung kembali, dimana kesilapan kita. Adakah kegagalan ini berpunca daripada kerapuhan strategi kita ataupun kerana sikap kita sendiri?

Namun pada hakikatnya, sebaik manapun strategi yang telah kita susun dan seampuh manapun kekuatan yang kita kumpul, sekiranya kita masih gagal kembali kepada Allah, selagi itulah kita akan berada ditakuk yang lama. Dalam kita merancang pelbagai impian pada masa hadapan, kita kadang kala terlupa landasan yang sepatutnya kita pilih dalam merealisasikan impian tersebut. Sekiranya kita mempunyai impian untuk menjadi kaya, jalan apa yang perlu dipilih? Adakah jalan pintas yang memberikan kebahagian yang singkat atau jalan yang jauh namun memberi satu kepuasan? Semua ini adalah pilihan yang Allah telah berikan kepada kita. Allah tidak menjadikan sesuatu perkara itu sia-sia tetapi Allah turunkan hikmah serta keadilan terhadap sesuatu yang terjadi. Seperti mana firman Allah :
“Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab Neraka.”
(Surah Shad : 27)
Impian yang telah dirancang dengan begitu rapi itu sering kali gagal untuk dilaksanakan juga. Ikhtiar demi ikhtiar telah kita cuba namun hakikatnya, usaha itu masih belum membuahkan hasil. Allah tidak akan mengkabulkan sesuatu permintaan hamba-Nya dengan mudah tetapi Allah turunkan pelbagai ujian kepada hamba-Nya untuk menguji sejauh mana mereka bersama Allah. Ayuh kita renung kembali sirah perjuangan Rasulullah suatu ketika dahulu. Baginda amat mengimpikan agar Islam terus tersebar ke seluruh pelosok dunia ini. Tetapi, sepanjang Baginda memperjuangkan Islam. Allah menurunkan pelbagai ujian demi ujian terhadap baginda sepanjang merealisasikan impiannya untuk melihat Islam terus berkembanng ke serata dunia. Allah telah berfirman didalam Al-Quran ;
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”
(Surah Al ‘Ankabut : 3)
Allah menurunkan ujian terhadap hamba-Nya bukan untuk menggagalkan impian setiap hamba-Nya tetapi Allah curahkan ujian demi ujian ini untuk melihat sejauh mana pergantunggan kita terhadap Allah. Ini adalah tanda bagaimana Allah begitu kasih terhadap kita. Ujian inilah merupakan penghubung yang sangat kuat antara kita dengan-Nya. Kita telah diberikan satu formula yang amat berkesan iaitu ‘Usaha+Doa+Tawakkal’. Ini adalah formula yang terbaik dalam kita memastikan impian kita dapat terlaksana. Adakah kita mempraktikkan kataupun tidak? Lihat kembali diri anda... 

Secara konklusinya, setiap insan dimuka bumi ini mempunyai 1001 impian dah harapan tetapi impian itu tidak akan dapat dikecapi sekiranya kita tidak kembali kepada Maha Pencipta kita iaitu Allah S.W.T. Setiap impian yang diimpikan itu pastinya akan disulami dengan pelbagai warna ujian daripada-Nya dalam memastikan impian yang bakal kita kecapi suatu masa nanti adalah impian yang benar-benar memberikan kenikmatan dan kepuasan yang tidak terhingga. Dan ingatlah, impian yang seharusnya ditanam dan disemai dalam diri kita adalah untuk menjadi seorang muslim dan mukmin yang baik dan bakal menjadi tetamu Syurga yang kekal abadi kelak. InsyaAllah.....

Saturday, 11 May 2013

Tanpa Sedar


Tanpa kita sedar masa terus berlalu meninggalkan kita dan kita pula asyik leka, alpa dan asyik dengan duniawi
Tanpa kita sedar sudah banyak wang ringgit kita habiskan untuk berfoya-foya namun sedikit sangat amal jariah kita terhadap mereka yang memerlukan
Tanpa kita sedar selama kita bercakap akan keburukan orang lain akan tetapi kita dibutakan dari melihat kelemahan dan kedaifan diri sendiri
Tanpa kita sedar peluang sudah diberi untuk berjaya namun kita angkuh dan meremehkannya lalu rebah tersungkur ke jalan kegagalan
Tanpa kita sedar nasihat sudah mengunung diberikan kepada kita tetapi kita memekakkan telinga dan menahan hati darinya lalu kita mudah digoda dan disesatkan
Tanpa kita sedar dosa menimbun dan makin bertambah, akan tetapi kita sering lupa untuk bertaubat sedangkan pintu taubat sentiasa terbuka
Tanpa kita sedar mata dikurnia memperlihatkan ciptaanNya , sebaliknya kita merosakkannya dengan pandangan hina dan jahil
Tanpa kita sedar mulut diberi hak berbicara agar sentiasa melafazkan kata-kata zikir kepadanNya, sebaliknya kita mempergunakannya dengan berkata-kata dengan perkataan lagha
Tanpa kita sedar telinga diberi hak untuk mendengar alunan kalam suciNya , sebaliknya kita memperlakukannya dengan menerima berita-berita fasik dan fitnah
Tanpa kita sedar kaki dan tangan yang sempurna dikurniakan agar melakukan ibadat kepadaNya sebaliknya kita terpelangkup dalam dunia kemaksiatan
Tanpa kita sedar kita selalu menyalahkan takdir walhal kita diberi peluang dalam mengubahnya

Tanpa kita sedar kita selalu lupa akan Allah, namun Allah tidak pernah sesekali melupakan hambaNya
Tanpa kita sedar kita sering mengatakan keseorangan  padahal Allah sentiasa bersama kita sepanjang masa
TANPA KITA SEDAR KITA SUSAH UNTUK TERSEDAR DARI KEASYIKAN DUNIAWI KEPADA KESEDARAN MENGINGATI ALLAH DAN RASULNYA....
Itulah kita yang seringkali harus disedarkan secara berulangkali agar tidak jauh dari hidayahNya....
Dan Tanpa Kita Sedar
Allah itu sentiasa menyayangi hambaNya yang soleh dan taat kepadaNya

Wednesday, 1 May 2013

Bersabar Atas Kekuatan


Pernah suatu hari seorang sahabat nabi yang bernama Khabab ibnu 'Arat R.A datang kepada Rasulullah S.A.W dan bertanya kepada baginda dengan soalannya, " bilakah kita akan menang wahai Rasulallah?"
Sahabat nabi yang bertanya ini sebenarnya telah mendapat seksaan dan ujian yang teruk. Badannya dipanggang sehingga diriwayatkan lemak di badannya mencair dan menitik ke lantai.
Akibat tidak tertahan dengan seksaan yang diterima maka beliau bertanya kepada Baginda bilakah masanya Islam akan menang mungkin dengan harapan agar Islam segera dinaikkan dan umat Islam terus menjadi dan dihormati.

alt
Namun itu tidak terjadi. Rasulullah akhirnya memujuk beliau dengan lembut tetapi tegas melalui kata baginda, "Umat terdahulu lebih dahsyat diseksa sehingga kepala mereka digergaji."
Bersabarlah, sesungguhnya umat-umat terdahulu lebih dahsyat diseksa sehingga kepala mereka digergaji.
Apa perasaan kita mendengarkan kata-kata seperti ini?
Bukankah kata-kata ini juga sebenarnya ditujukan kepada kita?
Tdakkah ada dalam diri kita sedikit kekuatan untuk terus bersabar menghadapi kesusahan hidup dalam melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan Allah?
Sesungguhnya kehidupan dunia bagi seorang muslim sememangnya ibarat penjara yang memenjarakan jasad dan pergerakannya. Kerana dunia ini sementara, dijadikan Tuhan hanya untuk menguji hamba-hambaNya siapa di kalangan mereka yang baik amalannya.
Maka bersabarlah dengan kesusahan melaksanakan suruhan Allah kerana sesungguhnya syurga Allah dan redhaNya sedang melambai-lambai untuk membahagiakan anda di sana.
Marilah beristighfar dengan penuh kesedaran.